Friday, September 30, 2011

GAGAL MENGADAKAN AGM & AUDIT SYARIKAT : MAHKAMAH


Bekas ketua PKPM didenda atas tuduhan mengikut Akta Syarikat

2011/09/30

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) Nor Azami Ahmad Ghazali dan tiga pengarah syarikat hari ini didenda RM6,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, masing-masing atas tiga pertuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Hakim Ainul Shahrin Muhamad mendapati Nor Azami, 43, dan tiga lagi pengarah syarikat iaitu isterinya Sarina Mansor, 40, ibunya Saliah Ramli, 63, dan Abdul Rahman Baba, 63, bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Keempat-empat mereka didapati bersalah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan syarikat, gagal menyerah simpan penyata tahunan dan gagal membentangkan akaun untung rugi syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di di Suite 132G, Tingkat 2, Wisma MISHAH, Jalan Raja Abdullah, di sini, pada 8 Mei 2003.

Sementara itu, syarikat berkenaan iaitu P.K.P.M Services Berhad didenda sejumlah RM7,000 terhadap dua pertuduhan kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan gagal menyerahkan penyata tahunan syarikat itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada SSM, Steve Chin Yun Cheong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam T. Santhirahasan.

BERNAMA