Saturday, November 26, 2011

EKUITI PEMILIKAN DALAM PERNIAGAAN


Teraju Dedah Keadaan Semasa Pemilikan Ekuiti Bumiputera

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pegangan ekuiti korporat secara relatifnya tidak banyak berubah dalam tempoh 1990 dan 2008 dengan Bumiputera memiliki 19.3 peratus pegangan ekuiti korporat pada 1990, demikian menurut Peneraju Agenda Bumiputera atau Teraju.

"Pemilikan Bumiputera dalam saham modal pada nilai tara berada pada 21.9 peratus pada 2008 adalah masih rendah daripada sasaran 30 peratus," katanya dalam dokumen Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut Teraju, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera lebih tinggi dalam sektor yang mempunyai sumbangan kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Contohnya, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera paling tinggi dalam sektor pembinaan iaitu 36.4 peratus tetapi sumbangan sektor ini kepada KDNK hanya 3.3 peratus.

"Sebaliknya, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor pembuatan hanyalah 11.3 peratus berbanding sumbangan sektor ini kepada KDNK sebanyak 26.6 peratus," katanya.

Teraju, sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), menyatakan majoriti syarikat Bumiputera adalah kecil dengan 65 peratus daripadanya menjana keuntungan kurang daripada RM250,000 setahun.

"Kebanyakan perniagaan Bumiputera lebih berskala kecil dan merupakan perusahaan mikro," katanya, sambil menyatakan 42 peratus perniagaan milik Bumiputera mempunyai kurang daripada lima pekerja manakala 21 peratus mempunyai lima hingga 50 pekerja.

Syarikat yang dikuasai Bumiputera, dengan pegangan ekuiti sekurang-kurangnya 51 peratus, membentuk 25 peratus daripada anggaran 800,000 syarikat berdaftar di Malaysia.

Melihatkan kepada keadaan semasa, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera akan terus menjadi teras utama dalam Transformasi Ekonomi Bumiputera, kata Teraju.

"Penguasaan Bumiputera dalam syarikat adalah penting bagi memastikan Bumiputera berupaya mengisi jawatan pengurusan dan seterusnya mendapat manfaat berpendapatan lebih tinggi," katanya.

Berdasarkan kajian ke atas syarikat Permodalan Nasional Bhd dan Syarikat-syarikat jawatankuasa pelaburan asing pada 2006, Teraju berkata syarikat yang dikuasai Bumiputera lebih berkemungkinan untuk memiliki penyertaan Bumiputera yang lebih tinggi dalam pengurusan, berbanding dengan syarikat asing dan bukan Bumiputera.

BERNAMA
26 November, 2011