Friday, August 15, 2014

SSM MENDAPAT SABITAN KES TERHADAP SYARIKAT GENNEVA SDN BHD, GENNEVA MALAYSIA SDN BHD DAN SAMUDRA-GV SDN BHD


Isnin, 21 Julai 2014 - Lapan orang pengarah bersama-sama tiga buah syarikat berkaitan perdagangan emas telah disabitkan dengan 76 pertuduhan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini. Mereka semua adalah pengarah bagi syarikat Genneva Sdn Bhd, Genneva Malaysia Sdn Bhd dan Samudra-GV Sdn Bhd yang mempunyai alamat pejabat berdaftar yang sama iaitu di Suite D23, 2nd Floor, Plaza Pekeliling, No.2, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.
Mereka didakwa kerana gagal memastikan syarikat-syarikat tersebut mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (‘MAT’) yang melanggar Seksyen 143(1), gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan yang melanggar Seksyen 165(4) dan gagal membentangkan Akaun Beraudit di MAT dalam tempoh yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965. Semua kesalahan adalah mulai tahun takwim 2007 hingga 2012.
Kesemua pengarah yang disabitkan itu adalah Dato’ Tan Liang Keat, Dato’ Ng Poh Weng, Dato’ Philip Lim Jit Meng, Dato’ Marcus Yee Yuen Seng, Dato’ Chin Wai Leong, Ng Wan Yee, Alex Yew Soo Hun dan Ahmad Khairuddin Ilias.
Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Zulqarnain Hassan mensabitkan kesemua pengarah dengan memerintahkan mereka membayar denda yang semuanya berjumlah RM42,700.00, sekiranya ingkar tiga (3) bulan penjara.
Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman hadir bagi pihak Pendakwa Raya manakala kesemua pengarah tersebut diwakili oleh Choong Kak Sen, Mohd Hairani Samsi dan J Kuldeep Kumar.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 21 JULAI 2014