Tuesday, February 18, 2014

BEKAS SETIAUSAHA SYARIKAT HADAPI TIGA TUDUHAN BUAT PERNYATAAN PALSU

2014/02/18 - 15:10:21 PM


JOHOR BAHRU: Seorang bekas setiausaha sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Khaeromze Ahmad, 41, didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 49 bertarikh 13 Mac 2013 berkaitan peletakan jawatan Pengarah Syarikat Armas Madina Sdn Bhd, Marina Bakri, 44, dan Ruzahana Endot @ Mohd Endut, 44, yang berkuat kuasa pada 13 Mac 2013.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat SSM di Menara Ansar, Jalan Trus di sini 21 Mac 2013 dan dia didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat (Akta 125) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.




BEKAS setiausaha sebuah syarikat, Khaeromze Ahmad, 41, (kanan) berbincang bersama Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Fairuz Othman (kiri) di pekarangan Mahkamah Seksyen Johor Bahru, hari ini.

Bagi pertuduhan kedua, Khaeromze didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 32A bertarikh 21 Mac 2013 iaitu dokumen yang dikehendaki oleh Seksyen 103 (1) Akta Syarikat 1965 berhubung pemindahan saham Ruzahana berjumlah satu unit di syarikat Armas Madina kepada isterinya, Noorlis Sawit, 41.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membuat kesalahan sama di dalam Borang 32A bertarikh 21 Mac 2013 berhubung pemindahan saham Marina berjumlah satu unit di syarikat Armas Madina kepada dirinya sendiri.

Dia didakwa melakukan pertuduhan kedua dan ketiga itu di pejabat syarikat Armas Madina di nombor 20-A2, Jalan Bandar, Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini pada 21 Mac 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 364(2) akta sama.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM, Steve Chin memohon Khaeromze dikenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan tetapi tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan menanggung seorang isteri serta anak.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 Rujukan : Berita Harian