Tuesday, September 9, 2014

Anak Syarikat kepada Enterprise


From : xxxxx@yahoo.com
Date : Tuesday, September 02, 2014 12:28 PM

Assalam Mr. Radzi,

Saya mempunyai Syarikat enterprise dan Alhamdulillah ianya berkembang maju dan saya ingin meng'upgrade'nya menjadi sdn bhd dengan nama yang sama tetapi telah ditolak oleh SSM atas alasan ada Syarikat lain yang menggunakan nama yang lebih kurang sama. Soalan saya, bolehkah saya menubuhkan sebuah Syarikat Sdn Bhd dan menjadikannya anak Syarikat kepada Syarikat enterprise saya. Sekiranya saya menubuhkan Syarikat baru, bolehkah saya transferkan segala urusan Syarikat enterprise saya ke Syarikat sdn bhd, contoh ongoing kontrak kerajaan.

Sekian, terima kasih.

xxxxxx
_________________________________________________________________________________

JAWAPAN

Assalammualaikum Puan,

Berikut merupakan penjelasan kami berhubung soalan yang Puan ajukan.

1. Menubuhkan sebuah Syarikat Sdn Bhd dan menjadikannya Anak Syarikat kepada Enterprise.

Untuk makluman Puan, Anak Syarikat dari segi Akta Syarikat 1965 (Seksyen 5) merujuk kepada :

a. Pemegang Saham Syarikat yang melebihi 50%
b. Mempunyai kuasa sepenuhnya atas keputusan Syarikat tersebut

Oleh yang demikian, sesebuah Syarikat akan menjadi Anak Syarikat kepada sesebuah Syarikat berdasarkan kepada pemegang saham.
Sehubungan itu, Syarikat Sdn Bhd tidak boleh menjadi Anak Syarikat kepada sesebuah Perniagaan (Enterprise) kerana :

a. Kedua-dua entiti ini tertakluk kepada Akta yang berbeza dimana :-
- Enterprise tertakluk kepada Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957
- Syarikat Sdn Bhd tertakluk kepada Akta Syarikat 1965
b. Perniagaan (Enterprise) merupakan entiti perniagaan yang tidak mempunyai saham dan ianya milik penuh oleh empunya. Oleh yang demikian, tiada saham yang dapat dipegang oleh Syarikat lain.

2. Bolehkah segala urusniaga Syarikat Enterprise dipindahkan ke Syarikat Sdn Bhd, sebagai contoh ongoing kontrak kerajaan?

Untuk keselamatan, Puan dinasihatkan agar membuat perjanjian bertulis yang sah. Banyak segi perlu diperhatikan di sini.

a. Sekiranya tender tersebut boleh diubah kepada penama baru, rasanya tiada masalah terutamanya bila penerimaan pembayaran.
b. Sekiranya tender tidak boleh diubah, ianya berisiko kerana tiada kawalan yang sah ke atas perniagaan Enterprise tersebut. Jalan penyelesaiannya adalah melalui perjanjian sah yang perlu dibuat melalui khidmat nasihat pihak yang bersesuaian.

Secara dasarnya, tiada masalah untuk melakukan demikian. Cuma terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan yang melibatkan isu-isu Akta seperti Akta Percukai dan sebagainya. Contohnya :-

a. Harta-harta Syarikat
b. Liabiliti-liabiliti, pinjaman dan sebagainya.
c. Aset-aset semasa Syarikat dan sebagainya.

Semoga penjelasan di atas dapat membantu Puan.

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)