SSM tak bertindak ke atas pengarah syarikat ingkar
Beberapa
kelemahan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia
disenaraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 – antaranya
melibatkan tindakan ke atas pengarah yang tidak membayar kompaun denda
berjumlah lebih setengah juta ringgit. Audit itu juga mendapati
SSM lewat mengutip kompaun dan merujuk syarikat tersebut untuk tindakan
pendakwaan – serta kelemahan suruhanjaya itu dalam kemaskini data
kompaun.
"Kelemahan itu menyebabkan sebanyak 346,546 bilangan
atau 49.9 peratus kompaun di mana nilai tidak dapat ditentukan masih
belum diambil tindakan." Laporan tersebut antara lainnya
mengemukakan contoh seorang pengarah yang mendaftarkan sebanyak 683
syarikat dan mengumpul denda berjumlah RM640,000, namun tidak dikenakan
tindakan.
Ia merupakan antara lima kes melibatkan pengarah
syarikat yang menerima antara 85 hingga 135 denda, berjumlah antara
RMRM490,000 hingga RM640,000. "Pihak Audit juga mendapati pengarah
syarikat tersebut masih aktif mendaftarkan syarikat dari bulan Januari
hingga Februari 2012 walau pengarah tersebut belum menjelaskan antara 85
hingga 135 kompaun." Dua daripada pengarah tersebut sehingga Februari lalu didapati mendaftarkan sehingga 99 buah syarikat.
Laporan
itu juga menyebut, Akta Syarikat 1965 tidak mengehadkan bilangan
syarikat yang boleh didaftarkan oleh seseorang pengarah walaupun Amalan
Terbaik Bursa Malaysia hanya mengehadkan jumlah 15 buah syarikat.
Selain itu, ia mendapati jumlah pendakwaan yang dijalankan SSM – khususnya cawangan Kuala Lumpur – amat rendah. Kes
yang dirujuk ke bahagian pendakwaan di cawangan Kuala Lumpur hanya
berjumlah 1.5 peratus atau RM8.59 juta dalam bentuk kompaun denda –
daripada RM554.94 juta kompaun yang belum dikutip.
Laporan itu
juga menyebut, SSM juga tidak membentangkan laporan penguatkuasaan
bulanan kepada anggota suruhanjaya dan Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Maklum balas SSM
kepada Jabatan Audit pada Jun 2012 menyebut, suruhanjaya itu mengambil
maklum teguran tersebut dan akan melaksanakan cadangan tersebut.
Ia
juga menyatakan suruhanjaya itu antara lainnya telah mengambil tindakan
pendakwaan ke atas syarikat dan pengarah yang gagal menyelesaikan
kompaun. Walau dengan kelemahan tersebut, SSM sejak beberapa bulan
ini gigih menjalankan siasatan ke atas NGO Suaram dengan tujuan untuk
mengambil tindakan ke atas kumpulan hak asasi itu.
Menteri KPDNKK
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 September lalu mengisytiharkan
bahawa Suaram akan didakwa dalam tempoh dua hari atas "akaun
mengelirukan". Pejabat Peguam Negara bagaimanapun memulangkan semula kertas siasatankepada SSM kerana tidak lengkap.
Menteri
hal ehwal undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula dalam satu
jawapan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu berkata berkata tiada peruntukan
dalam Akta Syarikat dan Akta Pertubuhan yang menghalang mana-mana
pertubuhan atau syarikat menerima dana asing.
Sumber : Malaysiakini
Tarikh : 17 Oktober 2012