Wednesday, February 13, 2013

Bekas Pengarah Syarikat Pelaburan Didakwa Terima Deposit Tanpa Lesen


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah yang mengusahakan syarikat pelaburan berasaskan rumpai laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Choi Kok Peng, 48, didakwa membantu syarikat AK United Sdn Bhd menerima deposit daripada orang ramai tanpa memegang lesen yang sah mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Aras 2 & 4, Wisma Dinari, Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, di sini, antara Oktober 2007 hingga November 2008.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta BAFIA 1989 yang memperuntukkan hukuman denda maksium RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pertuduhan tidak menyatakan jumlah wang yang dikatakan diterima daripada pendeposit.

Pegawai Pendakwa Mohd Shukri Ahmad Mansor dari Bank Negara Malaysia (BNM) membantah jaminan diberikan kepada tertuduh dengan alasan Choi berisiko akan melarikan diri selepas berbuat demikian dua tahun lalu selepas tiga hari keterangan diambil oleh pihak polis.

Peguam M Edmund, yang mewakili Chou, bagaimanapun, berkata anak guamnya dibenarkan dijamin kerana kes berkenaan berkait rapat dengan kes yang sama pada 9 Jun 2011 di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh.
Hakim Azwarnida Affandi memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula. - BERNAMA