Wednesday, November 14, 2012

Bekas pengurus penternakan lintah didakwa





SHAH ALAM — Seorang bekas pengurus Syarikat Hidayyah Management & Services Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 membabitkan pembelian kepentingan dalam skim pulangan balik penternakan lintah tanpa kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Azman Shah Abd. Hamid, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli kepentingan iaitu skim pulangan balik penternakan lintah, sedangkan sewaktu tawaran itu dibuat tidak terdapat surat ikatan yang diluluskan oleh SSM.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat Hidayyah Management & Services di No: 38, Jalan Bendahara 1, Taman Bendahara, Kuala Selangor, antara 1 Jun 2008 hingga 31 Disember 2009.

Azman juga didakwa menyebabkan syarikat Hidayyah Management & Services menawarkan kepada orang awam untuk membeli syer syarikat itu melalui skim sama, sedangkan sewaktu tawaran itu dibuat syarikat terbabit tidak menjalankan perniagaan jual beli syer yang mana tawaran itu dilarang dibuat mengikut Seksyen 363(3) Akta Syarikat 1965.

Hakim Ramesh membenarkan Azman dibebaskan dengan jaminan RM14,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes. — BERNAMA

Sumber : Kosmo Online
Tarikh : 05 November 2012