Tuesday, November 26, 2019

PERUBAHAN 12 DIGIT NO PENDAFTARAN SYARIKAT & PERUBAHAN BORANG




SSM Memperkenalkan Format Baharu Nombor Pendaftaran

​Kuala Lumpur, 7 Oktober 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi entiti perniagaan yang berdaftar dengannya bermula 11 Oktober 2019.
Format baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad sedia ada.  Ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.
Salah satu program di bawah pelan induk ini adalah Program Berimpak Tinggi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP 1) yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Selain SSM, pelaksanaan format baharu nombor pendaftaran ini turut melibatkan badan-badan pendaftar lain yang mengeluarkan nombor pendaftaran entiti perniagaan.
Format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM ini mengandungi 12 digit. Pelaksanaan format baharu ini dijangka akan memudahkan pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia merupakan satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan.
Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukan dua (2) format nombor (iaitu format lama dan baharu) seperti contoh berikut:
Nama:  AMS Setia Jaya Sdn. Bhd.
No. Pendaftaran : 201901000005 (1312525-A)
Format nombor baharu ini mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan tersebut diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis entiti perniagaan dan enam nombor berikutnya menunjukkan turutan nombor (running number) entiti perniagaan tersebut.
Jenis entiti perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 untuk syarikat asing, 03 untuk perniagaan, 04 untuk perkongsian liabiliti terhad tempatan, 05 untuk perkongsian liabiliti terhad asing dan 06 untuk perkongsian liabiliti terhad amalan profesional.
Untuk makluman, nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian. Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja. Namun begitu, penggunaan format baharu nombor pendaftaran adalah digalakkan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 7 OKTOBER  2019​

SOURCE : SSM PRESS RELEASE

Monday, October 14, 2019

PENGUMUMAN TARIKH KUATKUASA AKTA SYARIKAT 2016


Perubahan Akta Syarikat 2016 (AS2016) telah berkuatkuasa mulai 31 Januari 2017