Wednesday, June 26, 2013

GAGAL MENYERAHSIMPAN PENYATA TAHUNAN KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT (SSM) DI BAWAH SEKSYEN 165(4) AKTA SYARIKAT 1965


Pengarah bagi tiga syarikat disabitkan dengan kesalahan gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Syarikat (SSM) di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari ini telah mensabitkan Hasniza Binti Wazer, pengarah syarikat Phoenix Vantage Sdn Bhd, syarikat Bonus Strategi Sdn Bhd dan syarikat Netvance Sdn Bhd kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat-syarikat tersebut kepada Pendaftar Syarikat. Beliau telah mengaku salah bagi kesemua pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965.

Tuan Mohd Hezri Bin Shaharil, Majistret Mahkamah Petaling Jaya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar denda tersebut, hukuman penjara selama tujuh (7) hari bagi setiap kesalahan yang disabitkan terhadap Hasniza Binti Wazer.

Sewaktu mitigasi hukuman, Hasniza Binti Wazer telah merayu kepada Mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda yang minimum kerana beliau tidak bekerja dan menghadapi masalah kewangan. Pendakwaan dijalankan oleh Yap Pooi Fah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kegagalan syarikat dan pengarah-pengarahnya untuk mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Tambahan pula, kegagalan untuk menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada SSM akan menyebabkan orang awam tidak boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini bagi menentukan kestabilan dan status sesebuah syarikat.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah di atas diharap dapat bertindak sebagai peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawainya agar sentiasa mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 19 JUN 2013

Friday, June 21, 2013

PENGARAH SYARIKAT DISABITKAN DENGAN KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 132(1) DAN SEKSYEN 133A AKTA SYARIKAT 1965



Khamis, 13 Jun 2013 – Mohd Shukri Abdul Rahman (‘Mohd Shukri’), pengarah syarikat PT LAB Sdn Bhd telah disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dengan kesalahan di bawah Seksyen 132(1) dan 133A(1)(a) Akta Syarikat 1965 (‘AS 1965’).

Mohd Shukri yang juga merupakan Pengarah Urusan syarikat Pusrawi Group Holdings Sdn Bhd pada masa yang material telah memilih untuk mengaku bersalah kepada pertuduhan-pertuduhan di atas apabila beliau diarahkan untuk membela diri setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap beliau di akhir kes Pendakwaan.

Pertuduhan pertama di bawah Seksyen 132(1) AS 1965 terhadap Mohd Shukri adalah berhubung dengan perbuatan beliau meluluskan pinjaman RM500,000.00 kepada syarikat Pusrawi Engineering Sdn Bhd tanpa mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah PT Lab Sdn Bhd.

Manakala bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 133A(1)(a) AS 1965 beliau telah dituduh melakukan kesalahan membenarkan pinjaman diberikan kepada syarikat Pusrawi Engineering Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang berkaitan (‘connected person’) dengan dirinya sebagai pengarah syarikat PT LAB Sdn Bhd. Keterangan menunjukkan Mohd Shukri ialah pemegang saham utama dalam syarikat Pusrawi Engineering Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Abu Bakar Manat telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM27,000.00 bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 132(1) dan denda maksimum sebanyak RM10,000.00 bagi kesalahan kedua di bawah Seksyen 133A(1)(a) AS 1965.

En. Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Pn. Lidia Ishak dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia menjalankan pendakwaan bagi pihak Pendakwa Raya, dan Mohd Shukri diwakili oleh Surdev Singh dan Osman Ujang.


Dikeluarkan Oleh : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
Tarikh: 13hb Jun 2013.

NOTA

üSeksyen 132(1)
Pengarah syarikat hendaklah pada setiap masa melaksanakan kuasanya bagi tujuan yang betul dan dengan niat yang baik (good faith) untuk kepentingan terbaik Syarikat.

üSeksyen 133A(1)(a)
Sebuah Syarikat (selain daripada exempt private company) tidak boleh membuat pinjaman kepada mana-mana orang/syarikat  yang berkaitan dengan Pengarah Syarikat atau Syarikat induk