Wednesday, June 26, 2013

GAGAL MENYERAHSIMPAN PENYATA TAHUNAN KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT (SSM) DI BAWAH SEKSYEN 165(4) AKTA SYARIKAT 1965


Pengarah bagi tiga syarikat disabitkan dengan kesalahan gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Syarikat (SSM) di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari ini telah mensabitkan Hasniza Binti Wazer, pengarah syarikat Phoenix Vantage Sdn Bhd, syarikat Bonus Strategi Sdn Bhd dan syarikat Netvance Sdn Bhd kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat-syarikat tersebut kepada Pendaftar Syarikat. Beliau telah mengaku salah bagi kesemua pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965.

Tuan Mohd Hezri Bin Shaharil, Majistret Mahkamah Petaling Jaya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar denda tersebut, hukuman penjara selama tujuh (7) hari bagi setiap kesalahan yang disabitkan terhadap Hasniza Binti Wazer.

Sewaktu mitigasi hukuman, Hasniza Binti Wazer telah merayu kepada Mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda yang minimum kerana beliau tidak bekerja dan menghadapi masalah kewangan. Pendakwaan dijalankan oleh Yap Pooi Fah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kegagalan syarikat dan pengarah-pengarahnya untuk mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Tambahan pula, kegagalan untuk menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada SSM akan menyebabkan orang awam tidak boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini bagi menentukan kestabilan dan status sesebuah syarikat.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah di atas diharap dapat bertindak sebagai peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawainya agar sentiasa mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 19 JUN 2013