Tuesday, November 26, 2019

PERUBAHAN 12 DIGIT NO PENDAFTARAN SYARIKAT & PERUBAHAN BORANG




SSM Memperkenalkan Format Baharu Nombor Pendaftaran

​Kuala Lumpur, 7 Oktober 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi entiti perniagaan yang berdaftar dengannya bermula 11 Oktober 2019.
Format baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad sedia ada.  Ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.
Salah satu program di bawah pelan induk ini adalah Program Berimpak Tinggi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP 1) yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Selain SSM, pelaksanaan format baharu nombor pendaftaran ini turut melibatkan badan-badan pendaftar lain yang mengeluarkan nombor pendaftaran entiti perniagaan.
Format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM ini mengandungi 12 digit. Pelaksanaan format baharu ini dijangka akan memudahkan pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia merupakan satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan.
Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukan dua (2) format nombor (iaitu format lama dan baharu) seperti contoh berikut:
Nama:  AMS Setia Jaya Sdn. Bhd.
No. Pendaftaran : 201901000005 (1312525-A)
Format nombor baharu ini mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan tersebut diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis entiti perniagaan dan enam nombor berikutnya menunjukkan turutan nombor (running number) entiti perniagaan tersebut.
Jenis entiti perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 untuk syarikat asing, 03 untuk perniagaan, 04 untuk perkongsian liabiliti terhad tempatan, 05 untuk perkongsian liabiliti terhad asing dan 06 untuk perkongsian liabiliti terhad amalan profesional.
Untuk makluman, nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian. Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja. Namun begitu, penggunaan format baharu nombor pendaftaran adalah digalakkan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 7 OKTOBER  2019​

SOURCE : SSM PRESS RELEASE

Monday, October 14, 2019

PENGUMUMAN TARIKH KUATKUASA AKTA SYARIKAT 2016


Perubahan Akta Syarikat 2016 (AS2016) telah berkuatkuasa mulai 31 Januari 2017






Wednesday, August 23, 2017

PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA KERANA MEMBUAT PERNYATAAN PALSU



Rabu, 26 Julai 2017: Elizabeth Kelsie Rozario (tertuduh), Pengarah Syarikat Enimedia Group (M) Sdn. Bhd. telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan telah membuat penyataan palsu kepada SSM di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 49 bertarikh 15 April 2015 berhubung perletakan jawatan Kim Jun Beom sebagai Pengarah Syarikat. Tertuduh telah mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Muhamad @ Shaharudin. Mahkamah menetapkan RM5,000.00 sebagai wang ikat jamin dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Najla Abdul Razak, Pegawai Pendakwa SSM manakala tertuduh tidak diwakili.

Sumber: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
Bertarikh: 26 Julai 2017

Tuesday, February 21, 2017

AKTA SYARIKAT 2016 BERKUAT KUASA 31 JANUARI



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menguatkuasakan Akta Syarikat 2016 pada 31 Januari ini bagi menggantikan Akta Syarikat 1965. 

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata akta syarikat yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu bakal memberikan suntikan baru ke arah pemudahcaraan menjalankan perniagaan di Malaysia. 

Beliau berkata, inisiatif memodenkan kerangka perundangan korporat ini diharap dapat membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat awam memandangkan terdapat pelbagai polisi yang bakal memberikan impak positif terhadap syarikat. 

"Antaranya, pengenalan konsep penubuhan syarikat oleh seorang pemegang saham dan seorang pengarah adalah satu pemudahcaraan bagi memulakan perniagaan. 

"Di bawah akta baharu ini, terdapat pelbagai 'deregulatory measures' yang diperkenalkan untuk membolehkan syarikat beroperasi secara lebih efisien. Sebagai contoh, mesyuarat agung tahunan tidak lagi perlu diadakan oleh syarikat persendirian, sebaliknya resolusi syarikat boleh dibuat melalui resolusi edaran sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Jamil berkata, bagi tujuan melicinkan lagi pelaksanaan Akta Syarikat ini, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 juga akan dikuatkuasakan pada tarikh yang sama. Beliau berkata, peraturan itu menggariskan cara dan bagaimana syarikat membuat penyerah simpanan dokumen dengan SSM serta yuran yang berkaitan. "SSM juga akan menguatkuasakan Akta Skim Kepentingan 2016 pada tarikh yang sama. Akta Skim Kepentingan ini adalah platform alternatif bagi pengumpulan dana oleh syarikat-syarikat melalui penawaran skim kepentingan kepada pihak awam," katanya. 

Orang ramai boleh melayari laman web www.ssm.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung Akta Syarikat 2016, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 serta dokumen atau borang-borang yang perlu digunakan untuk tujuan penyerah simpanan dengan SSM.

SUMBER: BERITA HARIAN

27 JANUARI 2017

Wednesday, February 1, 2017

BEKAS SETIAUSAHA, AKAUNTAN JMB DIREMAN 7 HARI

PUTRAJAYA: Dua individu membabitkan bekas setiausaha dan bekas akauntan Badan Pengurusan Bersama (JMB) direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes penyelewengan berjumlah RM1.5 juta milik badan berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Individu berusia 53 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi semalam, manakala bekas akauntan berusia 37 tahun ditahan di Sungai Petani, Kedah, pada jam 1.30 tengah hari, semalam.

Laporan BH hari ini memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai berkata, JMB berkenaan menyelenggara kira-kira 500 unit kondominium di sebuah lokasi di ibu negara.

Penyelewengan berkenaan terbongkar apabila gaji kakitangan JMB yang menyelenggara kondominium berkenaan dikatakan tertunggak sejak Jun 2016.

Sumber : Malaysiakini & BH Online