Thursday, November 13, 2014

Pembatalan nama dalam Syarikat



Isnin, November 3, 2014 4:08 PM,
xxxx <xxxxx@yahoo.co.uk> wrote:

SOALAN :
Tuan,

Saya xxxxx, sebelum ini nama saya ada pada satu Syarikat Sdn Bhd, bagaimana saya nak keluarkan nama saya dari syarikat tersebut? Terima kasih.

JAWAPAN :

Salam Tuan,

PENGARAH
Untuk makluman Tuan, perletakan jawatan Pengarah Syarikat boleh dilakukan pada bila-bila masa dan atas apa-apa alasan.Perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat perletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat.
Akan tetapi, merujuk kepada Seksyen 122(6) dan 122(7) Akta Syarikat 1965, sekiranya bilangan Pengarah Syarikat akan menjadi kurang daripada dua orang Pengarah, perletakan jawatan tersebut adalah tidak sah kecuali jika perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan oleh Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi kelayakan atau menurut hal tidak layaknya di bawah Akta Syarikat atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Oleh itu, Syarikat perlulah melantik Pengarah baru bagi menggantikan jawatan Tuan, sekiranya perletakan jawatan tersebut akan menyebabkan bilangan Pengarah Syarikat berkurangan dari dua orang.

PEMEGANG SAHAM
Manakala sekiranya Tuan adalah Pemegang Saham Syarikat pula, nama Tuan tidak boleh dikeluarkan selagi Tuan masih belum memindahkan bilangan saham yang Tuan pegang. Oleh itu, Tuan perlulah memindahkan saham tersebut bagi menarik diri dari Syarikat tersebut.

Adalah dinasihatkan Tuan untuk merujuk Setiausaha Syarikat bagi membolehkan Tuan memproses penarikan diri dari Syarikat tersebut. Hal ini kerana, Setiausaha Syarikat akan bertindak menyediakan dokumen yang berkaitan. 

Semoga penjelasan diatas dapat membantu tuan.

Radzi & Co.
Chartered Accountants (M)

Tuesday, September 9, 2014

Anak Syarikat kepada Enterprise


From : xxxxx@yahoo.com
Date : Tuesday, September 02, 2014 12:28 PM

Assalam Mr. Radzi,

Saya mempunyai Syarikat enterprise dan Alhamdulillah ianya berkembang maju dan saya ingin meng'upgrade'nya menjadi sdn bhd dengan nama yang sama tetapi telah ditolak oleh SSM atas alasan ada Syarikat lain yang menggunakan nama yang lebih kurang sama. Soalan saya, bolehkah saya menubuhkan sebuah Syarikat Sdn Bhd dan menjadikannya anak Syarikat kepada Syarikat enterprise saya. Sekiranya saya menubuhkan Syarikat baru, bolehkah saya transferkan segala urusan Syarikat enterprise saya ke Syarikat sdn bhd, contoh ongoing kontrak kerajaan.

Sekian, terima kasih.

xxxxxx
_________________________________________________________________________________

JAWAPAN

Assalammualaikum Puan,

Berikut merupakan penjelasan kami berhubung soalan yang Puan ajukan.

1. Menubuhkan sebuah Syarikat Sdn Bhd dan menjadikannya Anak Syarikat kepada Enterprise.

Untuk makluman Puan, Anak Syarikat dari segi Akta Syarikat 1965 (Seksyen 5) merujuk kepada :

a. Pemegang Saham Syarikat yang melebihi 50%
b. Mempunyai kuasa sepenuhnya atas keputusan Syarikat tersebut

Oleh yang demikian, sesebuah Syarikat akan menjadi Anak Syarikat kepada sesebuah Syarikat berdasarkan kepada pemegang saham.
Sehubungan itu, Syarikat Sdn Bhd tidak boleh menjadi Anak Syarikat kepada sesebuah Perniagaan (Enterprise) kerana :

a. Kedua-dua entiti ini tertakluk kepada Akta yang berbeza dimana :-
- Enterprise tertakluk kepada Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957
- Syarikat Sdn Bhd tertakluk kepada Akta Syarikat 1965
b. Perniagaan (Enterprise) merupakan entiti perniagaan yang tidak mempunyai saham dan ianya milik penuh oleh empunya. Oleh yang demikian, tiada saham yang dapat dipegang oleh Syarikat lain.

2. Bolehkah segala urusniaga Syarikat Enterprise dipindahkan ke Syarikat Sdn Bhd, sebagai contoh ongoing kontrak kerajaan?

Untuk keselamatan, Puan dinasihatkan agar membuat perjanjian bertulis yang sah. Banyak segi perlu diperhatikan di sini.

a. Sekiranya tender tersebut boleh diubah kepada penama baru, rasanya tiada masalah terutamanya bila penerimaan pembayaran.
b. Sekiranya tender tidak boleh diubah, ianya berisiko kerana tiada kawalan yang sah ke atas perniagaan Enterprise tersebut. Jalan penyelesaiannya adalah melalui perjanjian sah yang perlu dibuat melalui khidmat nasihat pihak yang bersesuaian.

Secara dasarnya, tiada masalah untuk melakukan demikian. Cuma terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan yang melibatkan isu-isu Akta seperti Akta Percukai dan sebagainya. Contohnya :-

a. Harta-harta Syarikat
b. Liabiliti-liabiliti, pinjaman dan sebagainya.
c. Aset-aset semasa Syarikat dan sebagainya.

Semoga penjelasan di atas dapat membantu Puan.

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)

Friday, August 15, 2014

SSM MENDAPAT SABITAN KES TERHADAP SYARIKAT GENNEVA SDN BHD, GENNEVA MALAYSIA SDN BHD DAN SAMUDRA-GV SDN BHD


Isnin, 21 Julai 2014 - Lapan orang pengarah bersama-sama tiga buah syarikat berkaitan perdagangan emas telah disabitkan dengan 76 pertuduhan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini. Mereka semua adalah pengarah bagi syarikat Genneva Sdn Bhd, Genneva Malaysia Sdn Bhd dan Samudra-GV Sdn Bhd yang mempunyai alamat pejabat berdaftar yang sama iaitu di Suite D23, 2nd Floor, Plaza Pekeliling, No.2, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.
Mereka didakwa kerana gagal memastikan syarikat-syarikat tersebut mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (‘MAT’) yang melanggar Seksyen 143(1), gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan yang melanggar Seksyen 165(4) dan gagal membentangkan Akaun Beraudit di MAT dalam tempoh yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965. Semua kesalahan adalah mulai tahun takwim 2007 hingga 2012.
Kesemua pengarah yang disabitkan itu adalah Dato’ Tan Liang Keat, Dato’ Ng Poh Weng, Dato’ Philip Lim Jit Meng, Dato’ Marcus Yee Yuen Seng, Dato’ Chin Wai Leong, Ng Wan Yee, Alex Yew Soo Hun dan Ahmad Khairuddin Ilias.
Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Zulqarnain Hassan mensabitkan kesemua pengarah dengan memerintahkan mereka membayar denda yang semuanya berjumlah RM42,700.00, sekiranya ingkar tiga (3) bulan penjara.
Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman hadir bagi pihak Pendakwa Raya manakala kesemua pengarah tersebut diwakili oleh Choong Kak Sen, Mohd Hairani Samsi dan J Kuldeep Kumar.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 21 JULAI 2014

Tuesday, July 22, 2014

Enterprise and Company Secretary


From : 'xxx'
To : radziandco@gmail.com
Sent : Wednesday, July 9, 2014 4:27 PM

Assalamualaikum Tuan..

Saya terjumpa blog Tuan dan ada beberapa soalan yang diharapkan Tuan dapat menjawabnya.

1. Sebuah syarikat enterprise (perkongsian) salah seorang rakan kongsi menarik diri dari syarikat. co ni berdaftar dengan pkk, cidb dan mof. soalan saya apa perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh rakan kongsi yang tinggal dlm proses mengeluarkan nama nya dari syarikat? 

Perniagaan perkongsian boleh menukar statusnya kepada Perniagaan milikan tunggal atau sebaliknya melalui perubahan pemilik dengan mengemukakan perubahan maklumat pemilik atau rakan kongsi (Borang B). Perkara ini boleh dilakukan sendiri, di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

2. Bagaiman pula dengan income tax kepada rakan kongsi yang keluar ini?

Bagi cukai pendapatan pula, individu tersebut perlu melakukannya seperti biasa selagi individu tersebut masih mempunyai pendapatan.

Bagi pihak Perniagaan pula, sekiranya Perniagaan tersebut masih lagi dibawah perkongsian, pihak Puan perlulah menghantar seperti biasa Borang P bagi perkongsian dan juga borang B bagi individu. Manakala, sekiranya Perniagaan tersebut telah menukar ke milikan tunggal, hanya borang B sahaja yang diperlukan. Pihak Puan boleh menghubungi pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

3. Apa tugas co. secretary utk co sdn bhd?

Antara tugas-tugas Setiausaha Syarikat terhadap Syarikat adalah seperti berikut:

i. Menasihati Syarikat di dalam perkara berkaitan seperti undang-undang Syarikat dan pematuhan Akta Syarikat 1965.
ii. Mengemaskini pendaftaran Pengawai Syarikat seperti Ahli, Pengarah, Setiausaha dan Pemegang Saham, buku minit, sijil saham, dan segala dokumen yang diperlukan oleh pihak pendaftar (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).
iii. Bertanggungjawab terhadap pentadbiran am Syarikat.

Bagi mengetahui tugas-tugas Setiausaha Syarikat yang lain pihak Puan boleh merujuk di website kami di radziandco.com dan rundingsyarikat.com

Diharap jawapan ini dapat membantu.
Sekian, terima kasih.

Sunday, March 16, 2014

From: xxx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Monday, March 3rd, 2014 2:45 AM
Subject: PEMEGANG SAHAM FOREIGNER

Salam,

Encik, saya Cik XXX, ada problem nak upgrade dari Enteprise ke Sdn Bhd. Untuk Sdn Bhd, at least perlukan 2 orang shareholders, so problem saya, salah seorang shareholders itu ialah seorang foreigner dan datang dengan student pass visa. Boleh settle ke atau kena tukar shareholders tu? 

______________________________________________________________________________________________

JAWAPAN:

Salam.

Berdasarkan soalan yang dikemukakan, ada dua isu yang perlu dibincangkan. Untuk pengetahuan Cik XXX, perniagaan Enterprise tidak boleh dinaik taraf (upgrade) kepada Sdn Bhd kerana kedua-dua jenis perniagaan ini menggunakan dua Akta yang berbeza di mana:-
  • Enterprise- Akta Perniagaan 1956
  • Syarikat Sdn Bhd- Akta Syarikat 1956
Untuk makluman pihak Cik, Akta Syarikat 1956 tidak menghalang mana-mana warganegara asing untuk memegang saham mahupun menjadi Pengarah bagi sesebuah syarikat. Namun begitu, individu tersebut perlulah mematuhi syarat kelayakan seperti berikut: 

  1. Berumur 18 tahun
  2. Mempunyai alamat di Malaysia
  3. Tidak pernah disabitkan/dipenjarakan sama ada di dalam atau di luar Malaysia di atas mana-mana       kesalahan.

Sekiranya syarat-syarat kelayakan diatas dipatuhi, maka warga asing tersebut boleh dilantik menjadi Pemegang Saham dan Pengarah di dalam syarikat.

Sekian, harap maklum.

Terima kasih.

Tuesday, February 18, 2014

BEKAS SETIAUSAHA SYARIKAT HADAPI TIGA TUDUHAN BUAT PERNYATAAN PALSU

2014/02/18 - 15:10:21 PM


JOHOR BAHRU: Seorang bekas setiausaha sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Khaeromze Ahmad, 41, didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 49 bertarikh 13 Mac 2013 berkaitan peletakan jawatan Pengarah Syarikat Armas Madina Sdn Bhd, Marina Bakri, 44, dan Ruzahana Endot @ Mohd Endut, 44, yang berkuat kuasa pada 13 Mac 2013.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat SSM di Menara Ansar, Jalan Trus di sini 21 Mac 2013 dan dia didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat (Akta 125) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.




BEKAS setiausaha sebuah syarikat, Khaeromze Ahmad, 41, (kanan) berbincang bersama Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Fairuz Othman (kiri) di pekarangan Mahkamah Seksyen Johor Bahru, hari ini.

Bagi pertuduhan kedua, Khaeromze didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 32A bertarikh 21 Mac 2013 iaitu dokumen yang dikehendaki oleh Seksyen 103 (1) Akta Syarikat 1965 berhubung pemindahan saham Ruzahana berjumlah satu unit di syarikat Armas Madina kepada isterinya, Noorlis Sawit, 41.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membuat kesalahan sama di dalam Borang 32A bertarikh 21 Mac 2013 berhubung pemindahan saham Marina berjumlah satu unit di syarikat Armas Madina kepada dirinya sendiri.

Dia didakwa melakukan pertuduhan kedua dan ketiga itu di pejabat syarikat Armas Madina di nombor 20-A2, Jalan Bandar, Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini pada 21 Mac 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 364(2) akta sama.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM, Steve Chin memohon Khaeromze dikenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan tetapi tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan menanggung seorang isteri serta anak.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 Rujukan : Berita Harian