Wednesday, May 8, 2013

SYARAT-SYARAT WARGA ASING MENJADI PENGARAH SYARIKAT DI MALAYSIA


Perlantikan Pengarah, Pemegang Saham dan Setiausaha Syarikat di dalam sesebuah Syarikat adalah diwajibkan dan merupakan syarat bagi tujuan penubuhan Syarikat. Bagi individu warga asing pula, boleh menjadi Pengarah dan Pemegang Saham dengan syarat individu itu mematuhi Seksyen 122, Akta Syarikat 1965.


Isi kandungan Seksyen 122, Akta Syarikat 1965

Seksyen 122(1)
Memperuntukkan bahawa tiap-tiap syarikat hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang Pengarah yang mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya dalam Malaysia.
Seksyen 122(1A)
Jika Syarikat hanya mempunyai dua orang Pengarah, maka Pengarah-Pengarah itu hendaklah tidak termasuk Pengarah gilir atau ganti.
Seksyen 122(2)
Menyatakan bahawa Pengarah hendaklah terdiri daripada orang biasa yang cukup umur.
Seksyen 122(3)
Pengarah Pertama perlu dinamakan sama ada dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan.
Seksyen 122(5) dan selaras dengan
Seksyen 122(6)
Walauapapun yang terkandung dalam Akta atau Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan syarikat atau dalam apa-apa perjanjian dengan Syarikat, seseorang Pengarah tidak boleh meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatan jika dengan perletakan atau pengosongan jawatannya itu menyebabkan bilangan Pengarah dalam Syarikat menjadi kurang daripada dua orang.

Selain itu, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah serta Pemegang Saham boleh dibuat sama ada dengan :
a)    Pemilikan Penuh Rakyat Tempatan
b)    Pemilikan Penuh Dikalangan Warga Negara Asing atau,
c)     Kedua-duanya.

Bagi warga asing yang ingin menjadi Pengarah atau Pemegang Saham tetapi berada di luar Malaysia, dinasihatkan membuat pengisytiharan berkanun dan membuat perakuan di Kedutaan Malaysia di negara masing-masing.

Perlantikan Pengarah dan Pemegang Saham Syarikat boleh juga dilakukan sama ada melalui Perkongsian atau kerjasama dikalangan rakyat tempatan dan asing. Salinan yang jelas melibatkan kad pengenalan (warganegara Malaysia) dan passport (warganegara asing) perlu diserahsimpan kepada Setiausaha Syarikat.