Monday, November 14, 2016

SSM GIAT MENJALANKAN PEMERIKSAAN TERHADAP SYARIKAT


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (“SSM”) melaksanakan penguatkuasaan sebagai medium untuk melindungi persekitaran korporat dan komuniti perniagaan daripada isu-isu utama yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia. Bagi merealisasikan penguatkuasaan seimbang, SSM menggunakan tindakan penguatkuasaan sebagai strategi menyeluruh. Antara aktiviti-aktiviti penguatkuasaan ini adalah termasuklah tindakan siasatan dan penguatkuasaan yang rutin seperti pemeriksaan fizikal dan semakan pangkalan data SSM. 
Dalam menguatkuasakan strategi dan inisiatif penguatkuasaan ini, SSM akan meneruskan tindakan pemeriksaannya terhadap mana-mana entiti-entiti perniagaan bukan hanya terhad kepada entiti yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125], tetapi juga lain-lain jenis atau kategori entiti perniagaan yang didaftarkan di bawah perundangan yang ditadbir oleh SSM. Seperti, sebagai Pendaftar Perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197] serta sebagai Pendaftar Perkongsian Liabiliti Terhad, di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 [Akta 743]. 
Dalam konteks pemeriksaan melibatkan Syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125], SSM ingin menegaskan bahawa pemeriksaan fizikal yang dijalankan ke atas mana-mana Syarikat adalah selaras menurut bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada SSM sebagai Pendaftar Syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125] untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mana-mana Syarikat atau perbadanan seperti yang dinyatakan di dalam Seksyen 7B(1) Akta Syarikat 1965.
Seksyen 7B(1) Akta Syarikat 1965 menyatakan:
“Bagi maksud menentukan sama ada sesuatu perbadanan atau mana-mana pegawai perbadanan mematuhi Akta ini, Pendaftar boleh mempunyai akses kepada mana-mana tempat atau bangunan dan boleh memeriksa dan membuat salinan atau mengambil cabutan daripada apa-apa buku, buku minit, daftar atau dokumen dikehendaki oleh atau di bawah Akta ini untuk disimpan oleh perbadanan itu”. 
Dengan kuasa yang diperuntukkan di atas dan bagi memastikan Syarikat mematuhi mana-mana peraturan yang dikawalselia oleh SSM, SSM mempunyai kuasa untuk memasuki mana-mana tempat atau bangunan bagi memeriksa apa-apa dokumen yang berkaitan tanpa perlu mengemukakan notis terlebih dahulu kepada mana-mana Syarikat.
Walaubagaimanapun, jika mana-mana Syarikat gagal mengemukakan dokumen-dokumen yang diminta semasa pemeriksaan dijalankan, SSM boleh mengeluarkan notis di bawah seksyen 7B(2) Akta Syarikat 1965 untuk mendapatkan salinan dokumen-dokumen yang berkaitan dan pihak Syarikat diberikan masa sehingga 14 hari untuk menyerahkan dokumen-dokumen yang diminta.
Tindakan pemeriksaan yang dilaksanakan oleh SSM merupakan pendekatan biasa yang merupakan salah satu dari pelbagai pendekatan aktiviti penguatkuasaan dan kawalseliaan SSM. Sepanjang tempoh 2014 hingga Oktober 2016, SSM telah memeriksa sejumlah 9,340 Syarikat berhubung pelbagai peruntukan Akta Syarikat 1965. Manakala pemeriksaan berhubung pematuhan seksyen 167 Akta Syarikat 1965, sebanyak 281 Syarikat telah melalui proses tersebut dalam tempoh yang sama iaitu memberikan maklumat kepada SSM berhubung amalan penyimpanan rekod-rekod perakaunan di Syarikat masing-masing.
Aktiviti kawalselia serta penguatkuasaan yang berterusan adalah agenda utama SSM di samping usaha memberi pendidikan serta kefahaman berhubung kehendak pematuhan undang-undang dan juga amalan tadbir urus korporat terbaik yang disemai kepada komuniti peniaga menerusi Akademi Latihan SSM akan terus dilaksanakan. Usaha ini adalah bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, meningkatkan tahap pematuhan komuniti korporat yang tinggi serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan terpilih di peringkat antarabangsa. 

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Tarikh: 26.10.2016