Thursday, July 11, 2013

KOMPAUN SYARIKAT & PENUTUPAN SYARIKAT



From: xxx@gmail.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Monday, June 24, 2013 9:24 PM
Subject: Kompaun Syarikat

SOALAN[Q7002/2013]

Salam Tuan,

Saya telah membuka Company Sdn Bhd 5 thn yg lepas. Tapi Company x active sampai la sekarang. Semua Director telah mendapat surat denda RM4K+ kerana tidak hantar audit report. Sekarang ni, Company Secretary call kata yg kami akan di dakwa di mahkamah tetapi x dpt surat lagi. SC suruh membayar sebanyak rm4400 setiap seorang director and rm6K+(sebulan rm50) kepada SC. 

Apakah yg patut kami buat, dimana company mmg takde duit, kami lagi la xde duit. Apa tindakan yg patut kami buat, boleh kan kami terminate company camtu sahaja tanpa perlu membayar denda yg banyak tu.

Terima Kasih.


JAWAPAN:-

(a)  KOMPAUN

Surat kompaun yang diterima oleh Syarikat dan setiap Pengarah Syarikat menunjukkan bahawa Syarikat tersebut telah gagal mematuhi peraturan-peraturan yang terkandung di dalam Akta Syarikat 1965.

Merujuk kepada situasi Tuan, kami dapat simpulkan bahawa Syarikat Tuan dikenakan kompaun seperti di bawah:-


Namun begitu, pihak Syarikat dan Pengarah Syarikat boleh membuat rayuan pembatalan atau pengurangan bagi kompaun ini kepada pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Semua keputusan rayuan bergantung kepada budi bicara pihak SSM itu sendiri.

Pada kebiasaannya, pihak Tuan akan mendapat pengurangan (selepas semua pematuhan dipatuhi) dalam anggaran 70% ke 90%. 


(b) Pembatalan Nama Syarikat di bawah Seksyen 308 Akta Syarikat 1965

Merujuk kepada penjelasan Tuan di atas, kami boleh simpulkan bahawa Syarikat Tuan merupakan sebuah Syarikat berstatus dormant. Sekiranya Syarikat Tuan tidak beroperasi dan tidak berupaya meneruskan perniagaan pada masa akan datang, maka Tuan dinasihatkan untuk membuat pembatalan nama Syarikat atau penutupan Syarikat mengikut Seksyen 308, Akta Syarikat 1965. 

Apa itu Pembatalan Nama Syarikat?

Proses pembatalan nama Syarikat merupakan satu proses yang membolehkan Pendaftar Syarikat  menggunakan budi bicaranya untuk membatalkan nama sesebuah Syarikat dari Daftar sekiranya Pendaftar Syarikat berpuas hati bahawa :

  • Syarikat tersebut tidak lagi beroperasi dan menjalankan perniagaan seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 308(1) AS 1965;
  • Syarikat telah digulung tetapi tiada pelikuidasi yang bertindak;
  • Pelikuidasi gagal menyerah simpan penyata dan akaun Syarikat yang digulung; atau
  • Syarikat tidak mempunyai aset atau aset tidak mencukupi untuk membuat permohonan perintah pembubaran dari Mahkamah.

Proses penutupan Syarikat ini kebiasaannya mengambil tempoh selama 6 hingga 12 bulan bergantung kepada budi bicara pihak SSM. Sesebuah Syarikat yang telah dibatalkan dari Daftar disifatkan telah dibubarkan setelah notis pembatalan nama dikeluarkan dalam Warta Kerajaan.

Oleh yang demikian, pihak Syarikat dan pihak Pengarah boleh memilih untuk menutup Syarikat di bawah Seksyen ini. Pihak Tuan boleh melantik pihak lain sekiranya pihak Syarikat tidak mahu menggunakan khidmat Setiausaha Syarikat Tuan. Anggaran kos adalah dalam lingkungan RM1,500 ke RM1,700. Mengenai hutang Syarikat kepada Setiausaha Syarikat pula, pihak Syarikat boleh berbincang dan meminta pengurangan di atas alasan Syarikat dalam proses penutupan (cara jalan & penyelesaian yang terbaik).

Akhir kata, diharap segala penjelasan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu Tuan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sekian, harap maklum.              

Terima kasih.