Friday, July 5, 2013

PERNIAGAAN HAK MILIK TUNGGAL


From: xxxx@gmail.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Tuesday, June 18, 2013 2:40 PM
Subject: soalan tentang perniagaan hak milik tunggal

SOALAN[Q7001/2013]

Saya mempunyai persoalan tentang perniagaan hak milik tunggal, saya telah menjalankan perniagaan online yang menjual barangan krafttangan secara kecil-kecilan di laman web dan dinasihatkan oleh pihak SSM untuk mendaftarkan perniagaan saya sebagai perniagaan hak milik tunggal. Saya ingin mengetahui jika perniagaan krafttangan saya telah didaftarkan, adakah saya perlu memfailkan cukai perniagaan kepada pihak LHDN? Akan tetapi purata keuntungan saya adalah kurang daripada RM1,000 dalam setahun, malah aktiviti penjualan adalah tidak stabil.

Diharap En. dapat memberi nasihat atas soalan saya.

Sekian terima kasih.


JAWAPAN:-

Secara umumnya perniagaan meliputi profesion, pencarian dan perdagangan, dan setiap pengilangan, usaha atau urusan yang berupa perdagangan, tetapi tidak termasuk penggajian. Individu yang menjalankan salah satu (atau lebih dari satu) kegiatan tersebut secara perseorangan adalah dikenali sebagai individu menjalankan perniagaan milik tunggal atau bekerja sendiri. Biasanya pemilik perniagaan tunggal berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan (ROB).

Dari segi percukaian, setiap pendapatan yang diperolehi perlu ditaksirkan. Untuk tujuan percukaian, penghantaran Borang B (Pemastautin yang Menjalankan Perniagaan) kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hendaklah dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan iaitu pada atau sebelum 30 Jun tahun berikutnya. Contohnya, Borang Cukai Pendapatan tahun taksiran 2011 hendaklah dikemukakan pada atau sebelum 30 Jun 2012. Jika tidak pernah menerima Borang Cukai Pendapatan, seseorang individu itu hendaklah memberitahu pejabat LHDNM yang terdekat dan mendapatkan Borang Cukai Pendapatan apabila mula berniaga.

Sekiranya seseorang individu itu lewat atau gagal mengemukakan Borang Cukai Pendapatan pada waktu yang telah ditetapkan, maka pihak LHDN boleh membuat taksiran anggaran, mengenakan penalti dan seterusnya mengeluarkan notis taksiran terhadap individu tersebut. 

Bagi mengetahui samada terdapat cukai yang dikenakan atau tidak, oleh yang demikian Penyata Kewangan perlu disediakan selengkapnya. Seterusnya Pengiraan Cukai dibuat bagi mengetahui status cukai pendapatan tersebut.

Oleh yang demikian, di dalam isu ini:-

1.        Sekiranya perniagaan Puan memperolehi pendapatan, maka wajiblah didaftarkan selaras dengan Akta yang termaktub.

2.  Secara kasarnya, berdasarkan maklumat yang Tuan berikan, kebarangkalian cukai yang dikenakan agak kurang atau mungkin tiada cukai dikenakan (berdasarkan maklumat dan anggaran kasar). Namun begitu seperti yang dimaklumkan seperti di atas, pengiraan cukai atas perniagaan Puan perlu disediakan bagi mengetahui status cukai Puan.

Semoga membantu.